Monday, March 28, 2022

Nilai Pagi

Hari ini terasa indah untuk memulakan penulisan di blog. Jam sekarang menunjukkan pukul lapan pagi. Sementara menunggu kelas pukul sepuluh, saya ambil keputusan untuk membuat sesi menyendiri-buka blog dan tulis apa yang ada di hati.

Kenapa saya kata pagi ini indah?

Selepas Subuh, saya latih diri untuk tidak tidur. Kerana saya tidak mahu lepaskan peluang menikmati pagi. Pagi itu indah kerana detik itulah bermulanya segala mujadah. Dari yang bangun pagi untuk menuntut ilmu sehinggalah yang bangun pagi untuk mencari nafkah. 

Pagi itu indah kerana detik itulah mentari mulai menyinari. Dari langit yang gelap kini sudah menjadi sedikit keemasan dek kerana sinarannya. Di sebalik perbukitan, mentari mulai menaik tinggi, memberi cahaya buat penduduk bumi. Kita menyaksikan bagaimana fenomena langit berubah warna. Dengan itu kita akan lebih meyakini kekuasaan-Nya. Masyaallah. Tabarakallah.

Pagi itu indah kerana detik itulah kita dapat menghirup udara segar nan dingin. Sambil memandang wajah langit yang makin membiru. Bersama awan-gemawan yang menaikkan lagi seri semesta. Masyaallah. Awan ini berarak dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain. 

Pagi itu indah kerana detik itu kita bisa mendengar suara cicipan burung yang menghias melodi alam. Halus dan nyaring membuai jiwa. Terfikir tentang kuatnya tawakkal si burung dalam mencari rezeki tiap hari. Memikirkan bahawa si burung harus meredah langit yang kadang-kadang terpaan angin begitu kuat sekali. Namun, si burung tidak berputus asa. Ada sahaja rezeki si burung pemberian dari Yang Maha Esa. Dan keesokan harinya, si burung menjalani rutin yang sama tanpa ada sedikit pun keraguan tentang takdir yang menantinya. Besar sungguh kebergantungan makhluk kecil ini pada Allah. 

Kerana alam juga dihuni oleh kita-manusia. Maka, di pagi hari itu juga ada bunyi kereta bersilih ganti dengan motorsikal dan juga bas uni. Menandakan tiap satunya punyai tugas untuk digalas. Ternyata kita hidup bersama sebuah visi duniawi dan ukhrawi. Bukan hidup untuk sesuka hati. Pagi menjadi titik permulaan kepada setiap langkah insani.

Masyaallah. Tabarakallah. 

Pagi punyai nilai tersendiri yang boleh kita renungi. Dengan melihat alam, kita sebenarnya mampu kekuatan dan keimanan dalam diri kita. Semoga ada sesuatu yang kita dapat pelajari dari nilai pagi. Dan semoga setiap pagi kita Allah Ta'ala berkati. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment

Nilai Pagi

Hari ini terasa indah untuk memulakan penulisan di blog. Jam sekarang menunjukkan pukul lapan pagi. Sementara menunggu kelas pukul sepuluh, ...