Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya hanya "follow the flow". Jadi, tiada istilah minat dalam kamus hidup saya saat saya mengambil keputusan untuk memasuki bidang radiografi. Tapi, alhamdulillah. Ternyata setiap pilihan yang didahului dengan istikharah adalah tepat dan terbaik untuk kita.
Masuk tahun kedua degree, saya semakin jelas dengan hala tuju dan kerjaya dalam bidang ini. Saya mula nampak apa yang akan saya jadi bila dah meningkat dewasa nanti. Dan fikiran saya pula sudah terbuka luas bahawasanya bekerja dalam bidang ini tidak semestinya di hospital. Sebenarnya, banyak cabang lain yang boleh kita ceburi. Insyaallah jika ada keizinan akan saya kongsikan mengenai hal tersebut.
Bidang ini pastinya semakin lama akan semakin rumit dan kompleks. Semakin lama kita belajar, semakin kita sedar rupanya masih banyak perkara yang kita tidak ketahui. Memasuki bidang radiografi tidaklah bermakna kita hanya mempelajari x-ray sahaja.
Berdasarkan pengalaman saya selama dua tahun ini, dalam bidang ini kita akan pelajari ilmu setiap inci anggota badan, jenis-jenis penyakit, cara untuk menjaga pesakit semasa membuat rawatan, cara menggunakan mesin x-ray dan bermacam-macam lagi.
Hari demi hari, saya mula meminati bidang ini kerana saya adalah seorang yang suka mengambil gambar. Juga sedikit minat terhadap teknologi. Jadi, ini merupakan peluang keemasan buat saya kerana kedua-dua minat ini secara tidak langsung ada di dalam bidang yang saya ceburi ini. Syukur alhamdulillah.
Justeru, saat ini saya mulai menyedari bahawa kerjaya ini adalah sebuah kerjaya yang mulia. Selain membantu doktor membuat diagnosis, kerjaya ini juga secara tidak langsung memberi harapan baru buat pesakit-pesakit di luar sana untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya.
No comments:
Post a Comment